Sunday, January 22, 2012

Doa Seorang Sahabat



Terdapat seorang pemuda bersama sahabatnya yang menaiki sebuah kapal yang sama, menuju ke suatu tempat. Dengan taqdir Allah, kapal yang dinaiki telah terbocor, lalu mula karam sedikit demi sedikit.


Alhamdulillah, lalu kedua-dua mereka berenang dan terus berenang untuk menyelamatkan diri, hinggalah tiba di sebuah pulau yang sunyi lagi kosong. Ternyata, pulau tersebut tiada berpenghuni, malah kering kontang tiada sebarang pohon dan hidupan.

Mereka terus saja bersama, berdoa dan berdoa kepada Allah mudah-mudahan diberi jalan keluar, atau paling tidak diberi makan dan minum untuk meneruskan hidup. Namun, setelah sekian lama, sepertinya doa mereka masih belum dimakbulkan Tuhan.

Sehinggalah suatu hari pemuda tersebut berasa hampir putus asa. Lalu mencadangkan kepada sahabatnya agar mereka memisahkan tanah pulau tersebut kepada dua daerah, dan mereka tinggal di daerah masing-masing. Pada fikirannya, mungkin salah seorang daripada mereka orang yang jauh dengan Tuhan, lalu kerana itulah doa mereka belum dimakbulkanNya. Sahabatnya hanya mengangguk bersetuju tanpa membantah.

Bermulalah kehidupan mereka secara berasingan. Si pemuda mula berdoa kembali kepada Tuhan, memohon agar diberikan minuman kepadanya. Di takdirkan Allah, kawasan tanahnya mula mengeluarkan beberapa pancutan air mata air dari tanah. Alangkah gembiranya pemuda itu, lalu dia menjenguk ke daerah sahabatnya, dan dilihat tanah di situ masih kering kontang tanpa setitis airpun. Pemuda itu terus lagi berdoa kepada Allah, kali ini dia memohon semoga Allah memberikannya makanan pula. Dengan izin Allah, beberapa pohon buah-buahan mula tumbuh dan hidup subur di tanah daerahnya. Sekali lagi dia menjeguk ke daerah sahabatnya, dan dilihatnya tiada sebatang pohon pun yang berdiri di situ. Masih sama kering kontang dan lapang seperti hari pertama mereka tiba di situ.

Sekarang, dia mula yakin bahawa doa-doanya kini memang dimakbulkan Allah dan sebaliknya doa-doa sahabatnya itulah yang tidak dimakbulkan Allah. Dan tahulah dia mengapa semasa mereka tinggal bersama, doa-doa mereka tidak dimakbulkan Allah…

“Pasti kerana dia itu seorang yang jauh dengan Tuhan…kerana itulah doanya tidak dimakbulkan…”

Lalu, pemuda itu dengan keyakinan bahawa doanya sentiasa termakbul, terus berdoa meminta, meminta dan meminta pelbagai lagi. Hinggalah kemuncaknya, pemuda itu memohon kepada Allah agar dapat keluar dari pulau itu dan kembali ke perkampungannya. Dengan taqdir Allah, tiba-tiba dilihatnya ada sebuah perahu hanyut tanpa tuan menghampiri pulau tersebut. Dengan perasaan gembira yang amat sangat, dia pun menaiki perahu tersebut lalu meninggalkan pulau itu.

Setibanya di kampung halaman, dia bertembung dengan seorang tua yang sangat terkenal alim dan warak di kampungnya itu. Orang tua itu memandangnya dengan penuh kehairanan. Lalu orang tua itu menegur,

“Mana sahabatmu yang seorang lagi???” Pemuda itu jadi kaget, tapi berusaha untuk berlagak biasa, lalu bertanya kembali kepada orang tua itu…

“Sahabat yang mana satu?”

“Sahabatmu yang di pulau itu..” jawab orang tua.

Terkejutlah pemuda itu pabila mendengarkan jawapan orang tua tersebut. Lalu pemuda itu menceritakan kepada orang tua itu kisah dari mula dia sampai hinggalah hari dia mendapatkan perahu yang membawanya pulang ke kampung.

“Lalu, apakah saya harus menolong membawa pulang sahabat saya itu, sedangkan Allah sendiri tidak memakbulkan doanya?!” kata pemuda itu lagi.

Lantas orang tua tersebut pun menjawab… “Tahukah engkau, sesungguhnya sahabatmu itu hanya ada satu doa sepanjang dia di pulau itu, dan satu-satunya doa beliau telah pun di makbulkan kesemuanya oleh Allah…”

“Apa d
oanya? pemuda bertanya sedikit teruja..

“Sesungguhnya, sepanjang waktu, dia hanya meminta agar Allah memakbulkan semua doa-doamu yang sedang di dalam kesusahan dan kegelisahan…Dan sesungguhnya satu-satunya doa beliau itu telahpun diperkenankan oleh Allah…”

Maka terduduklah pemuda itu, merasa terharu dan keinsafan….

Subhanallah…
MasyaAllah…
Allahu Akbar….

Bertuahnya pemuda itu mempunyai seorang sahabat yang semulia itu…alangkah bertuahnya, alangkah bertuahnya.. alangkah bertuahnya dia…

Maka, Saya akhiri kisah hidup pemuda itu dengan satu pertanyaan….

“Apakah tuan yang mulia sudi menjadi sahabat saya. Dan sudi memberikan saya peluang menumpang barakah tuan?”





No comments:

Post a Comment