Saturday, December 19, 2009

Betapa Ana Mencuba....

Semakin ana mencuba mengelak...
Semakin ia datang mendekati....
Semakin ana cuba lakukan yang terbaik...
Semakin banyak kesilapan yang terjadi...
Ana mula berasa binggung...
Apa yang sepatutnya ana lakukan...
Adakah ana perlu mengorbankan segalanya?...
Pengorbanan seperti apakah yang ia mahukan?
Sungguh...
Ana mula keliru dan binggung...
Sedarkah ia...
Ana telah mencuba dan berusaha yang terbaik...
Kerana ana sayangkan secebis nilai itu...
Ana sayangkan ikatan itu...
Tapi...
Ana tidak mampu untuk memenuhi semuanya...
Sungguh...
Betapa Ana Mencuba...
Tak perlu ana luahkan perasaan itu...
Tak perlu ana ceritakan...
Tak perlu ana curahkan...
Kerana keikhlasan itu adalah segala-galanya...
Kerana redhaNya adalah matlamat...
Kerana sunnahnya ana lakukan...
Betapa Ana Mencuba...

Friday, December 11, 2009

Tawaqal...


Pernahkah kita dalam mencapai suatu perkara, setelah kita berpenat lelah dan seratus peratus meletakkan tenaga dan keupayaan kita dan setelah kita yakin kita telah memberikan seluruh sumber yang ada namun hati kita masih resah seolah dunia masih tidak mengiktiraf usaha kita? Mungkin kerana kealpaan kita, kita terlupa yang Dia lah penentu segalanya. Dialah yang
menentukan nilai rezeki dan setiap sesuatu untuk setiap daripada kita. Firman Nya :

“Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah menentukan bagi setiap sesuatu” QS 65:3.

Tawakal daripada suku kata perkataan arabnya bermaksud mewakilkan urusan kepada pihak yang lain. Dan maksud ini dapat kita perluaskan lagi sebagai kepercayaan hati kepada wakil satu-satunya.

Dalam kita meletakkan perwakilan bagi suatu urusan kita, pastinya wakil kita itu diyakini kebenarannya, diyakini yang paling kuat, diyakini paling lancar dan juga diyakini paling perhatian dan kasih sayang. Bukankah semua sifat ini hanyalah milik Dia? Adakah makhluk yang diciptakanNya mempunyai semua sifat dia atas untuk kita sandarkan kepercayaan kita? Mana mungkin kerana hanya dari Dialah segalanya datang, dan kepadaNya segalanya kembali. Di dalam kita menghadapi cabaran, Allah telah menyuruh kita untuk berserah kepadaNya. Namun ini bukanlah bermakna kita tidak perlu melakukan apa-apa dalam kita mencapai sesuatu itu. Firmannya lagi:

“ ketika dua golongan dari pihak kamu ingin mundur kerana takut, padahal Allah adalah Penolong mereka. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal” QS 3;122
Bila kita hendak capai sesuatu, keinginan dan cita-cita tu hanya akan jadi mimpi dan angan-angan kosong yang tidak bernilai kalau kita tidak sertakan sekali dengan usaha. Rezeki tidak datang bergolek kalau kita tidak ikhtiar untuk cari. Dan pada usaha itulah hasil kita akan terjadi.
Tetapi usaha semata tidak bernilai di sisi Allah jika kita hanya mengharapkan usaha kita sedangkan kita lupa untuk meletakkan Allah sebagai yang Menentu. Jangan sekali kita meletakkan usaha kita menjadi neraca hasil kerana bukankah itu seolah kita mengiktiraf diri kita bagaikan berkuasa dan tidak perlu mengharap pada Ilahi?.Andai inilah yang kita lakukan, secara sendirinya kita menghitamkan hati kita dengan riya’ dan takabbur. Sedangkan hasil suatu itu adalah ketentuanNya, nikmatnya untuk memberikan menurut pertimbanganNya. Mungkin terjadi, mungkin tidak.

Namun Allah menjanjikan nikmat yang tidak disangka-sangka bagi mereka yang bertawakkal. Rasulullah bersabda :

“Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakkal maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung, pagi keluar sarang dalam keadaan lapar, dan petangnya pulang ke sarang dalam keadaan kenyang.” HR At Tirmidziy.

Dalam bertawakal ada peringkat-peringkat yang boleh dijadikan kayu ukur kebergantungan kita;

a. Ketergantungan seseorang kepada Allah atas perlindungan dan pemenuhan keinginannya, sebagaimana keterikatan seorang pelanggan kepada pengacaranya. Ia menyerahkan sesuatu namun tiba suatu saat ia dapat mengambil kembali perjanjian, dan menyerahkannya kepada pihak lain, yang lebih dipercayai.

b. Kebergantungan seseorang kepada Allah bagaikan kebergantungan seorang bayi terhadap ibunya. Ia tidak mengenal orang lain selain ibunya, tidak merengek dan meminta susu kecuali kepada ibunya, ia tidak berserah diri kecuali kepada ibunya. Namun bayi itu dapat juga berbuat sesuatu yang diinginkannya di luar pengetahuan orang tuanya. Kebergantungannya kepada orang tau karena ketergantungan adanya keinginan yang tiada pada orang lain, selain ibunya.

c. Kebergantungan seseorang kepada Allah bagaikan kebergantungan seorang jenazah terhadap orang yang memandikannya. Si arwah tidak tahu lagi apa pun yang diperbuat oleh orang yang memandikannya. Ia menyerah terhadap perlakuan apapun yang diberikan kepadanya.

Maka kita jejaki kembali tawakkal kita, adakah sudah kita benar-benar mengharapkan dari Ilahi yang sepenuh-penuh takwa seperti yang dituntut ke atas kita. Bila kita melakukan tawakkal, bukankah itu lebih tenang di hati kerana kita yakin Allah telah menentukan rezeki untuk setiap kita yang masing-masing ada bahagian sendiri. Bila kita yakin suatu rezeki itu ditentukan untuk kita, maka tidak perlu kita takut untuk orang lain mendapatnya pula. Namun kita tidak akan tahu apa rezeki yang akan diberikan kepada kita kerana suatu usaha itu mungkin tidak mendatangkan hasil seperti yang kita harapkan. Mungkin lebih dari kita harapkan atau mungkin lebih teruk daripada jangkaan kita. Tapi bagi seorang yang hidupnya penuh dengan tawakkal kepada Allah tahu dan yakin bahawa itulah rezeki yang ditetapkan untuknya yang datang bukan sebagai ganjaran atau balasan kepada dia, namun sekadar ujian untuk menguji secebis iman di dada. Ini kerana dia yakin, segala apa yang dilakukan di dunia adalah kerana untuk memetik ganjarannya di syurga sana. Kita hanyalah penyemai benih keimanan dan diindahkan dengan tawakkal kerana tawakkal itu satu daripada pembuktian iman, yang meyakini Dialah segalanya, yang dinantikan bukan hasil dan ganjaran di muka bumi, tetapi adalah ganjaran abadi syurga firdausi. Dan kerana itulah orang yang benar bertawakkal, dia tidak akan takut untuk berusaha kerana tahu rezekinya datang dengan tidak disangka-sangka, dia akan terus berusaha untuk masa depannya, terus berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapinya disamping berusaha mengelak musibah kepada dirinya kerana dia yakin, setiap usaha yang dilakukannya hanyalah wasilah yang akan membenarkan dia untuk menggapai cinta Ilahi di jannah Ilahi..

“Suatu tawakkal dan keyakinan yang kuat tanpa ikhtiar yang mengiringinya maka tidaklah sempurna, dan setinggi-tinggi ikhtiar akan sia-sia tanpa tawakkal, meyerah kepadaNya.
Tawakkal yang benar adalah ikhtiar yang semaksimum mungkin disertakan keyakinan bahawa Dia lah penentu segalanya.”

Moga kita bertawakkal dengan sebenar tawakkal, diiringi dengan keikhlasan semata untukNya.
Wallahua’lam..

Daie dan keletihan masing-masing


Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah yang berakal. Dikurniakan deria yang lengkap dan sempurna, mempunyai pelbagai kelebihan dan kekuatan. Akal yang dikurniakan mengangkat darjat manusia melebihi makhluk yang lainnya. Namun, tidak dinafikan ada manusia yang Allah kategorikan lebih hina dari haiwan ternakan. Moga Allah menjauhkan kita dari golongan manusia yang diazab kelak.

Diciptakan pula manusia berbeza-beza, dari warna kulit yang pelbagai kepada sikap yang beraneka ragam. Semuanya untuk manusia mencari kelebihan dan kekurangan serta mengenali dan memahami segenap sifat dan sikap yang ada. Atas perbezaan yang wujud ini, pastinya ada yang lebih dari yang lain dan ada juga yang kurang berupaya dari yang lain. Di sinilah timbulnya optimalisasi sumber manusia dalam menjadikan kehidupan lebih baik dan sempurna.
Di dalam sesebuah organisasi yang mempunyai tenaga kerja yang banyak dan pelbagai, optimalisasi sumber manusia merupakan satu aspek yang amat penting agar tidak berlaku ‘pembaziran’ tenaga dan kemahiran. Seperti itu jugalah di dalam medan da’wah, tidak relevan jika manusia dikumpulkan di bawah satu panji yang sama namun tidak tersusun dan tidak dimanfaatkan segenap tenaga dan kemahiran yang ada untuk memantapkan lagi pergerakan da’wahnya. Amal jama’i yang dituntut di medan da’wah seharusnya mempunyai penerapan yang langsung dalam jiwa setiap aktivis da’wah untuk ke hadapan memanfaatkan tenaga dan kemahiran yang ada padanya untuk mencapai matlamat da’wah islam, melalui sistem yang digariskan jemaah. Jauh dari keinginan untuk sebuah organisasi memiliki ahli atau individu yang berkebolehan tetapi bertindak melulu tanpa memikirkan matlamat organisasinya secara menyeluruh.

Di sinilah timbulnya kepentingan untuk kita mengintrospeksi diri masing-masing untuk mengenal kelemahan dan kelebihan yang ada agar dapat disalurkan dengan betul di dalam usaha da’wah kita. Mengenali diri sendiri sememangnya dapat membuatkan kita memperbaiki kelemahan yang ada, baik atas usaha sendiri, mahupun dengan bantuan sahabat lain. Kelemahan yang dikenalpasti dapat memperlahankan perjalanan da’wah jemaah secara menyeluruh seharusnya diberi perhatian yang khusus oleh individu itu sendiri apatah lagi oleh pembimbingnya. Di sini pentingnya sikap ikhlas dan berlapang dada dalam menerima kekurangan diri dan untuk menerima teguran yang kelak akan membantu kita memperbaiki diri, sekaligus jemaah.

Namun fokus artikel ini adalah untuk kita menjadi lebih sensitif dengan persekitaran terutamanya dengan sahabat lain yang turut sama dalam usaha da’wah islam ini. Seolah-olah menjadi tabii aktivis mempunyai rasa segan dan takut untuk menegur sahabat sendiri yang melakukan kesilapan ataupun mempunyai kekurangan diri yang boleh jadi berpotensi dalam menggugat usaha da’wah kita. Segan dan takut di situasi ini merupakan sesuatu yang tidak relevan dan seharusnya jauh dari sanubari kita. Kepekaan kita terhadap masalah sahabat yang lain menjadi tanda pengukur ukhuwah kita. Sesungguhnya ukhuwah itu tidak diukur dengan relanya kita berlapar demi kesenangan sahabat atau keletihan kita demi keselesaan mereka atau seumpamanya tetapi lebih utama lagi, sejauh mana kita berusaha untuk membawanya kepada Allah s.w.t. Sikap dan sifat yang seperti bercampur-baur dengan jahiliyyah seharusnya ditepis dari hinggap di kalangan aktivis islam sekalian. Lalu usaha untuk mengelakkannya memerlukan bantuan mata luar untuk memerhati dan mentafsir dengan jujur dan ikhlas. Di sinilah peranan sahabat menjadi amat signifikan, seperti pulau di tengah lautan memberi harapan kepada nelayan yang hilang arah.

Adapun usaha membantu memperbaiki diri orang lain memerlukan kita mengenali beberapa aspek penting agar tidak terlanjur menjadi batas pemula perpecahan. Tidak sekalipun ia dianggap menjadi objek perendahan, baik yang menegur mahupun yang ditegur. Atas niat ikhlas kerana Allah dan dengan kasih dan sayang, kita berusaha memberi dan menerima teguran. Kasih dan sayang…sesuatu yang subjektif untuk diterangkan tetapi dapat dirasai, bukan? Jadi soal kembali diri kita, sejauh mana persahabatan yang terjalin itu kerana Allah s.w.t.? Atau hanya kerana bersama di jalan da’wah? “Da’wah”? Pentingnya untuk kita menetapkan niat dan perasaan bersahabat itu hanya kerana Allah adalah supaya kita mampu menilai dan bertolak ansur dengan sikap dan sifat yang ada pada seseorang tanpa rasa benci yang disuap syaitan. Perlu jelas bahawa yang dibenci adalah sikap, bukan individu. Jadi dengan kasih dan sayang kita terhadap sahabat itu, jauh sekali dari wajar untuk kita menjauhkan diri darinya, bahkan dihampiri dan diperbaiki akhlaknya agar tiada yang kita benci padanya sepertimana tiada yang kita benci pada diri kita sendiri. Alternatif yang wujud dalam proses memperbaiki seorang sahabat punya tiga, sepertimana yang digariskan Eko Novianto dalam bukunya “Sudahkah Kita Tarbiyyah? : Refleksi seorang Mutarrabi”. Pertama melalui persahabatan yang telah terjalin. Kedua melalui orang-orang yang diketahui bertanggungjawab terhadap seseorang individu itu dan ketiganya melalui struktur organisasi yang terlibat. Fokus di sini adalah berkenaan peranan kita di kalangan dai’e sebagai seorang sahabat.

Jadi bagaimana kita berusaha membantu sahabat kita? Langkah bagaimana harus diambil agar usaha mendatangkan hasil dan hasil melalui kaedah yang efektif? Sekali lagi kita membincangkan sesuatu yang subjektif, tetapi masih relevan untuk diusulkan cadangan. Memang menjadi amalan yang amat sukar untuk menegur rakan sebaya. Alasan paling popular; “Takut kecil hati nanti”. Habis bagaimana pula kecil peluang untuk ke syurga dan untuk memantapkan da’wah? Yang penting cara approach berhikmah dan tidak semberono. Da’wah dengan memudahkan, bukan menyusahkan. Ada pula yang merasakan ia bukan satu amal da’wah yang besar walhal yang menganjurkan kepada yang baik itu adalah amal da’wah juga. Bukan hanya kepada yang tidak punya fikrah dan tidak kenal islam, tetapi juga di kalangan sahabat handai yang berjuang di jalan Allah. Mana mungkin kita mampu redha dan berlapang dada saat melihat gagasan da’wah ini dititipi dengan jaihliyah dan kerosakan yang dikendong oleh kafilahnya sendiri? Ataukah kita tersilap tatkala melabel diri kita aktivis islam?
Sebenarnya disinilah merupakan satu anjakan paradigma untuk aktivis muda, terutamanya di kampus, mula berfikir lebih luas dan lebih kreatif. Penyelesaian masalah yang pelbagai memerlukan kaedah berfikir yang lebih luas tetapi masih di dalam kotak syari’e yang ditetapkan, tanpa kompromi. Dari metode da’wah dengan masyarakat kampus yang tipikal kepada metode da’wah umum yang kebiasaannya melibatkan pelbagai lapisan pemikiran dan ragam pendapat. Dari yang selemah-lemah iman kepada yang berkobar semangat tak tentu arah, semuanya memerlukan kita berfikir dan melaksanakan. Jangan hanya berfikir, nanti otak menjadi banjir dengan idea hingga tidak ada ruang untuk keinginan melaksanakannya. Posisi kita sebagai sahabat yang sedia ada seharusnya digunakan sebaiknya untuk menegur dan membantu membaiki kelemahan yang ada pada individu ber”masalah”. Kelebihan pada ta’aruf yang berjalan sepanjang persahabatan(betul berlaku ta’aruf??) digunakan sebaiknya. Titik kegembiraan dan kemarahan yang telah kita kenali haruslah dimanfaatkan agar jauh dari konflik. Nyatakanlah dengan jujur dan ikhlas akan niat kita untuk membantunya dan memantapkan da’wah islam ini. Di sini memerlukan interaksi yang personal dan menjaga agar persoalan tidak tersebar kepada yang tidak berkepentingan1. Motivasikan dirinya dengan akibat dan natijah yang mungkin terhasil atas perubahan yang akan dihadapinya. Moga-moga Allah melembutkan hatinya untuk berubah dan menerima nasihat serta dieratkan lagi hubungan dia dan kita.

Namun jika isu sikap tersebut masih tidak dapat diselesaikan melalui approach persahabatan yang mengambil tindakan ono on one, wajarlah disepakati dengan beberapa sahabat lain yang mengambil berat akan masalahnya juga. Jika perlu, rencanakan aktiviti kebersamaan yang mampu untuk menyentuhnya, bukan dengan sesuatu yang terlalu obvious menumpu kepadanya agar tidak timbul inferiority padanya.

Adapun isu yang dibentangkan di atas hanya berkenaan permasalahan sikap individu, bukan dari aspek yang melibatkan teknikal dan sistem. Jika ini berlaku, adalah lebih baik permasalahan tersebut diusulkan kepada pembimbing tanpa diberitahu kepada sesiapa yang tidak sepatutnya agar tindakan yang responsif dapat diambil dengan segera supaya tidak memburukkan keadaan.

Moga dengan sedikit perkongsian ini mampu untuk kita pertingkatkan kefahaman kita akan erti persahabatan dan erti kasih kerana Allah. Di sinilah kita tegur-menegur kerana akhirat berlaku sepertimana para sahabat Rasulullah s.a.w. di kalangan mereka sendiri. Malahan ia juga mendidik kita untuk menjauhkan dari sifat ego dan malu berlebihan dalam menghadapi masalah sikap. Kian lama ia dibiarkan, kian meruncing masalah dan bertambah pula bebanan da’wah kita. Langkah pertama yang dapat diambil adalah untuk bermula dengan introspeksi diri sendiri yang berlanjutan dengan pembinaan sensitiviti terhadap masalah sesama sahabat. Wallahualam.

Monday, December 7, 2009

kisah masjid...

Pertama:

Kisah ini adalah sambungan kisah sebelumnya. Seperti ana nyatakan dalam kisah sebelumnya, masjid as-syakirin sudah menjaya meletak tempat di hati ana. Seperti kemaruknya orang dilamun cinta, seperti itulah “kemaruk”nya ana pergi ke masjid. Dan sekali lagi, masjid menjadi saksi 1001 kisah ana selama berada di bumi uitm.

Semenjak peristiwa yang ana ceritakan sebelum ini, ana mula berusaha memperbaiki diri, mencari ilmu dan mempelajari Al-Quran. Semuanya di masjid. Masjid menjadi kelas kuliah dan course tambahan ana. Tapi, semua itu bukan mudah. Ana diuji dan diuji…pendek kata, masjid lah tempat ana ketika ana sakit dan masjid juga tempat ana memahami dan mengerti satu ikatan yang dinamakan ukhuwwah.

Yup, ana ingat lagi, ketika ana sakit. Sakit yang ana rasa teramat sangat sehingga menganggu emosi dan ibadah ana. Tapi, sahabat-sahabat sentiasa ada di samping ana. Sahabat yang selalu membantu dan sahabat yang sanggup berkorban. Di sini ana nyatakan, tahap ukhuwwah ketika itu adalah “Terhebat” dan ikatan itu ana rasa ikatan yang lahir sekiranya hati kita betul-betul “ikhlas” dan memahami makna “Ukhuwwah fillah” dan dalam hati tertanam “berkasih sayang kerana ALLAH” bukan persatuan…tanpa perlu mengira siapa kita, latar belakang kita, dan lain-lain…kerana kita semua sama. Pendamba Mardhatillah…InsyaALLAH..

Kedua:

Sekiranya ana marah, sedih, kecewa, penat dan gembira, masjid itu lh tempat pertama ana pergi. Tempat ana menenangkan diri, tempat ana “berbicara” denganNya. Dan selalunya setiap kali ana pergi masjid, mesti ada sahabat-sahabat di sana. Sahabat yang sentiasa bertegur sapa, sahabat yang sentiasa melemparkan senyuman di bibir, sahabat yang sering bertanya perihal diri …ana rindu dengan pertanyaan seperti ini…

“dah hafal surah apa?..”

“ari nie dah baca ayat mana”..

“jom kita baca tafsir surah nie…”

dan lain-lain. Yang paling best kalu ade yang tanya

“apa khabar iman ari nie?”….

“jom baca mathurat ” …..

Sekarang, semua sudah jauh berbeza. Keadaan masjid yang berbeza,tapi sejarahnya tetap sama. Bak kata perpatah, tempat jatuh lagi dikenang…

Ketiga:

Bermula dari masjid, ana menjadi diri ana yang sekarang. NUR Yang Tersendiri. Masjid itulah tempat ana mengumpul, membina, dan mendapat kekuatan, ketenangan dan kebahgiaan dan yang paling penting ana mengenal erti sebuah perjuangan dan nilai pengorbanan.
Masjid itu bukan milik sesiapa tapi ia akan dianggap bermakna bagi jiwa insan yang memahami dan mengerti. Yang pastinya, masjid adalah rumah ALLAH dan carilah ketenangan di situ.masyaALLAH…Subhanallah…

kisah cahaya...


Alhamdulillah, ana tetiba teringat satu peristiwa yang ana rasa sangat indah dan paling ana tak dapat lupakan. peristiwa yang berlaku kira-kira 2 tahun yang lepas. Ana masih ingat lagi, perubahan ana, bukan lah perubahan mendadak dan tergesa-gesa. Ana bukan lah seorang yang mudah terikut-ikut tanpa tahu tujuan dan matlamat, tapi ana akan berubah sekiranya ana betul-betul faham dan yakin tentang sesuatu perkara. Masjid, tempat bersaksinya peristiwa ni.
Peristiwa yang berlaku ni, tak pernah ana ceritakan kepada sesiapa. Kenapa?? Kerana setiap kali ana mengingati dan mengenang peristiwa ni, ana seperti terpaku seketika dan lantas ana akan mengucap syukur kepada-Nya sehingga ana hanya mampu mendiamkan diri ataupun ana akan lakukan ibadat kepada-Nya.

Peristiwa ni berlaku masa pertama kali ana memakai tudung labuh (tudung k.raudhah) dan jubah (jubah k.ros) di masjid As-Syakirin. Kebetulan ana ada metting di masjid dan ana hanya memakai t-shirt dan tudung biasa. Tidak semena-mena k.raudhah dan kakak2 lain ajak ana pergi metting sekali. Ana menolak dengan alasan pakaian ana tak sesuai dan malu. Kebetulan ada tudung dan jubah di masjid. Ana berkeras menolak ajakan kakak2 tadi sebab ana belum bersedia memakai semua tu walaupun untuk seketika. Tapi, akhirnya entah kenapa, hati ana mendesak untuk ana mencuba dan dalam masa yang sama ana memohon kekuatan untuk terima pembaharuan tu. Mungkin masa tu sesetengah individu beranggapan, ini adalah benda biasa, mungkin sesetengah beranggapan “pakai je sebab sekejap jer..lepas metting tukarlah”…dan sesetengah beranggapan ini permulaan untuk mencuba sesuatu yang baru….tapi, bagi ana, ana yakin semua ini mesti ada hikmahnya.

Ana meminta kakak2 tu pergi dulu metting sementara ana bersiap-siap untuk mengenakan jubah dan tudung labuh tersebut. Lepas ana bersiap, agak lama untuk ana mengumpul kekuatan untuk keluar dan pergi metting. Hati ana sangat berdebar bila melihat diri ana di cermin “berhijab sempurna” termasuk stoking di kaki. Ana rasa satu perasaan yang sangat luar biasa. Selamat, tenang dan aman. Seperti ada 1 hembusan lembut dari dalam hati ana dan mengalir ke seluruh badan. Ketenangan yang teramat. Subhanallah…

Akhirnya, dengan secebis kekuatan, ana keluar dan melangkah ke tempat metting. Ana membuka pintu dan….sekali lagi…subhanallah… ana melihat cahaya yang sangat cantik dan bersinar-sinar di bahagian hadapan dalam masjid. Seperti ada kilauan yang sangat bercahaya. Ana terpaku seketika dan terdiam. Ana tidak mampu mengungkap dengan kata-kata betapa cahaya itu sangat tenang dan bersinar..subhanallah..

Beberapa saat kemudian, baru ana sedar dan perasan mata-mata yang memandang dan menanti kehadiran ana sejak tadi. Ana duduk di sebelah k.ros. sebaris ayat yang ana masih ingat lagi, “sesuai untuk Nur”.

Malam tu, ana sukar melelapkan mata. Ana masih terbayang peritiwa tadi. Ana masih rasa ketenangan dan hembusan lembut di hati. Ana menitiskan air mata dalam pekat malam. Betapa, DIA sentiasa membantu hambanya yang mencari-cari tujuan dan matlamat hidup. dan betapa DIA maha kuasa lagi maha penyayang.

Sejak peristiwa tu, ana dah mula jatuh hati dengan masjid. Dulu memang masjid berjaya mencuri hati ana, tapi sejak peristiwa tu, ana makin tak boleh berpisah dari masjid. Ingat lagi, dulu ana pergi masjid untuk solat subuh dan isyak jer, tapi lepas peritiwa tu, kalu boleh setiap waktu solat ana akan menapak ke masjid. Benarlah, hijrah kita bergantung dengan apa yang kita niatkan. Sejauh mana kita jelas matlamat hijrah kita dan sejauh mana kita sentiasa mengharapkan bantuan dan redha-Nya setiap masa dan ketika…Benar, peristiwa ini berjaya menjadi titik awal dan pembuka satu lagi episode baru dalam sejarah diari hidup ana…

Sekarang, 2009…dah 2 tahun peristiwa itu berlalu..seiring dengan peredaran masa, masjid tu pun dah bertukar wajah. Tapi, ana sangat merindukan peristiwa itu dan ketenangan itu.

Wednesday, December 2, 2009

K.I.T.A

Tahun berganti bulan, bulan berganti minggu, dan minggu berganti hari. Bagaimana kita melalui saat-saat itu? Adakah setiap detik dn ketika kita teringat atau terfikirkan saudara-saudara kita di tanah palestin. Ana ingin mengajak pembaca untuk berfikir sejenak, hari demi hari, setitis demi setitis darah saudara kita yang berada di Palestin, Iraq, dan Afghanistan ditumpahkan. Segolongan besar dari kita mungkin tidak sedar akan hal ini, dan apa kurangnya bagi yang sedar, hanya mampu menangis dan berdoa untuk mereka. Memang, kita tidak mampu bangkit mengangkat pedang menentang golongan kafir lannatullah itu untuk melindungi panji Islam. Kita lalai dengan zon selesa yang diberikan dan tidak sedar bahawa zon selesa itu boleh bertukar menjadi zon “berbahaya” secara tiba-tiba.

Mengingkap sejarah lampau, Perang Saraf yang satu ketika dulu dirancang dengan lancar sehingga mereka mampu menyebabkan kita mengubah huruf alif kepada huruf ‘A’ dan paling menyakitkan hati dan perasaan apabila penindasan terhadap orang Islam dikatakan perkara rutin.

Adakah K.I.T.A mampu melihat anak-anak saudara kita di sana disepak-sepak, gadis-gadis kita diratah-ratah dan pemuda-pemuda kita di’anjing’-‘anjing’kan oleh golongan yang dahulunya pernah menuntut ilmu dari kerajaan empayar Islam dan menjadikan kita sebagai ikutan dan contoh??

Sedar dan saksikanlah!! Bagaimana keadaan kita pada zaman ini? Benar, apabila dikatakan perkataan Islam pada mereka, pastinya jawapan mereka ialah Islam itu terrorist. Adakah kita sanggup mendengar Islam dilabel sedemikian rupa?

Persoalannya, bukan “mengapa terjadinya perkara ini?”, tetapi “bagaimana terjadinya perkara ini?”sabda rasulullah :

“Sesungguhnya umat akhir zaman umpama buih-buih di lautan, banyak, tetapi hancur apabila dihempas ombak.”

Selepas kewafatan Nabi Muhammad, maka bermulalah era umat akhir zaman. Ingat, Islam berkembang maju melalui pentadbiran yang berlandaskan syariah. Tetapi, Kamal Attartuk mengubah sistem tersebut. Pembai’ahan Kamal Attartuk iaitu seorang sekularisme, membezakan antara dunia dan akhirat. Era penderitaan umat Islam bermula apabila Kamal Attartuk dilantuk sebagai pemimpin Turki menamatkan kegemilangan umat Islam dengan pemansuhan sistem khalifah, pengubahan bahasa arab dan pengharaman pemakaian hijab.
Namun, cahayaNya tidak akan pernah padam, Iman As-Syahid Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwanul-Musliman, mengikat kembali hati-hati yang sudah terlerai. Perjuangan beliau terhenti setelah beliau dibunuh oleh askar Raja Farouk. Beliau menggariskan 7 faktor kejatuhan umat Islam:

1) Percakaran politik
2) Semangat Assobiah
3) Perebutan kuasa
4) Perselisihan soal agama
5) Bergelumang dengan kemewahan
6) Kesenangan terutama dikalangan pemerintah
7) Hati insan yang dahulunya menyintai Maha Pengasih melebihi kekasih sudah berubah. Arak,perempuan dan judi mula digilai. Mengapa??


Semua ini berlaku kerana K.I.T.A tidak lagi menjadikan Al-Quran sebagai perlembagaan hidup kita sepenuhnya. Mari kita sama-sama menilai diri kita sendiri tanpa perlu mencari kesalahan orang lain. Nilailah, dimana letaknya K.I.T.A? “assignment”, “chatting”, “couple” dan sebagainya. Semua itu mungkin akan menyebabkan kita lupa pada Sang Pemberi, kita lupa apa tujuan hidup kita, kita lupa bahawa semua ini adalah pinjaman sementara.


Ingatlah, dulunya dengan berpaksikan Al-quran dan As-sunnah kita dihormati, disegani dan ditakuti. Kerana sejarah zaman khalifah Saidina Ali bin Abu Talib telah membuktikannya apabila berlakunya konflik dengan Muawiyyah dan ketika itu tentera Kristian cuba mengambil kesempatan, Muawiyyah mengutuskan surat kepada Maharaja Kristian tersebut; “Jangan kau tertipu dengan perbalahan kami. Sekiranya kau menentang Ali, nescaya kau akan lihat orang yang menghukummu itu adalah Muawiyyah.” Akhirnya, tentera Kristian berundur kerana ketakutan. Nah! Kafir yang berundur kerana ketakutan inilah yang sudah memijak-mijak kita sekarang. K.I.T.A,mungkin atas kenikmatan, kesenangan yang kita miliki ini, mungkin menjadi hijab bagi kita untuk merasakan bahaya yang sebenar disebaliknya. Adakah kita masih ingin duduk, meminum kopi, bergoyang kaki sambil bergelak ketawa.

Persoalan ana, adakah mustahil bagi kita untuk menegakkan syiar Islam di dunia ini? Ini bukan ditentukan oleh kita, sebaliknya Allah S.W.T tetapi, bukankah ini satu kewajipan bagi kita? Ataupun mungkin sekurang-kurangnya kita dapat melaksanakan seperti apa yang dikatakan oleh Adbul Wahab Azam iaitu:

““usaha dakwah mestilah dimulakan dari bawah”

Seperti mana kata Syakib;

‘Tiada cara lain. Ia adalah khemah tanzim dan penyusunan barisan terdidik dengan tarbiyah Islam yang sejati. Bukan dewan perhimpunan atau seminar. Ia adalah dengan api semangat yang merdeka, bukan sinaran bintang. Dirikanlah khemahmu di padang pasir jahiliyah kurun kedua puluh ini dan nyalakanlah apimu supaya ia dilihat oleh orang yang sesat dan terputus hidayah, supaya mereka menuju kepadanya dan bernaung didalam khemah itu.”