Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
 
Alhamdulillah,  syukur ke hadrat Allahu Subhanahu Wa Ta’ala di atas segala kurniaanNya.  Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., para  sahabat, tabi’in dan setiap nadi umat manusia yang menggerakkan risalah  Islam sejak dari Nabi Adam a.s. hinggalah ke Hari Qiamat.
 
 
 
Alhamdulillah,  marilah kita merafa’kan setinggi-tinggi syukur ke hadrat Ilahi kerana  kita sekarang berada di bulan Ramadhan. Satu bulan yang begitu istimewa  bagi umat Islam. Di dalam bulan inilah wahyu pertama diturunkan kepada  baginda Nabi s.a.w. Di bulan ini juga diwajibkan ke atas umat Islam  untuk berpuasa sebulan.
 
 
 
Firman Allahu Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Al-Quran yang bermaksud:
 
 
 
“Wahai  orang-orang yang beriman, puasa itu telah diwajibkan ke atas kamu  sebagaimana ia telah diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu,  mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa.
 
 
 
(Surah Al-Baqarah : 183)
 
 
 
“(Masa  yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya  diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi  keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)  perbezaan antara yang benar dengan yang salah.
 
 
 
(Surah Al-Baqarah : 185)
 
 
 
Jika  kita menghitung hadis-hadis berkenaan fadhilat bulan Ramadhan amatlah  banyak dan kita akan mendapati betapa besarnya kelebihan yang ada di  dalam bulan ini. Besarnya limpah rahmat Allah Ta’ala kepada umat Nabi  Muhammad s.a.w. di bulan ini yang tiada pada umat nabi-nabi terdahulu.  Di dalamnya terdapat Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.  Amatlah rugi bagi sesiapa yang tidak menggunakan peluang yang ada di  bulan ini untuk melipatgandakan amal ibadatnya.
 
 
 
Dari  Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah  memberi berita gembira kepada para sahabatnya dengan sabdanya, “Telah  datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan  kepadamu berpuasa padanya; pada bulan ini pintu-pintu Surga dibuka,  pintu-pintu neraka ditutup dan para syaitan diikat; juga terdapat pada  bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak  memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa’.”
 
 
 
(HR. Imam Ahmad dan An-Nasa’i)
 
 
 
         Sesiapa  yang berpuasa semata-mata kerana Allah dan menjaga puasanya, Allah  menjanjikan pengampunan bagi dirinya dari segala dosa yang telah  berlalu. Seperti mana yang disebut dalam sebuah hadis, Nabi sallallahu  ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
 
 
 
“Barang  siapa berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala dari  Allah, maka Allah mengampuni dosanya yang telah lalu”.
 
 
 
(HR. Al-Bukhari dan Muslim).
 
 
 
 
Puasa  tidak terhingga pahalanya, kerana orang yang berpuasa akan mendapatkan  pahala yang tidak terhingga. Setiap Muslim amalannya akan diganda  sebanyak 10 hingga 700 kali ganda, kecuali puasa. Ganjaran pahala puasa  tidak terhingga di sisi Allah mengikut kesempurnaan ibadat puasa kita.  Firman Allah di dalam hadis qudsi:
 
 
 
“…Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untukKu dan Aku sendiri yang akan membalasnya, ia menahan nafsu dan makan keranaKu.”
 
 
 
(HR. Muslim)
 
 
 
Namun,  bukanlah pahala Ramadhan yang kita cari, tetapi redha Allah yang kita  impikan. Ganjaran-ganjaran besar yang dijanjikan oleh Ilahi ini diharap  dapat memberikan motivasi kepada kita untuk terus bersemangat dalam  mengerjakan ibadat, ibarat ber’pesta’. Pesta ibadat.
 
         Ana  hairan dengan fenomena yang kurang elok yang melanda masyarakat Islam  pada hari ini. Apabila tibanya Ramadhan, masjid dan surau penuh dengan  jamaah Muslimin. Sedangkan bulan-bulan lain, sesetengah masjid satu saf  pun tidak penuh. Ramai yang berqiamullail dan bertadarrus di masjid  dalam bulan ini. Malah, hebatnya masyarakat kita di bulan ini, mampu  mengkhatamkan Al-Quran dalam masa sebulan. Sedangkan mungkin ada yang  tidak dapat mengkhatamkan Al-Quran dalam tempoh masa 11 bulan selepas  Ramadhan. Falsafah fardhu Ramadhan ini ialah untuk melahirkan insan yang bertaqwa. Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:
 
 
 
“...mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa.”
 
 
 
(Surah Al-Baqarah : 183)
 
         Tetapi,  kita lihat dalam masyarakat kita, perubahan yang dilakukan hanyalah  dalam bulan Ramadhan dan berubah setelah berlalunya Ramadhan. Maka, ini  dilihat bercanggah dengan falfasah puasa Ramadhan yang sepatutnya  melahirkan insan yang bertaqwa. Memanglah kita berasa lebih bersemangat  untuk beribadat di bulan yang penuh barakah ini, tetapi kenapa tiada  nilai istiqamah dalam diri kita. Sepatutnya ‘madrasah’ Ramadhan ini  lebih menguatkan keimanan dan ketekunan kita dalam beribadat tahun demi  tahun.