Monday, February 21, 2011

Andai diri lemah...


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.


Memang.


Rasa lemah itu kadangkala menyapa diri.


Ujian-ujian yang datang bertimpa-timpa, kadang kala membuatkan kita rebah dan tersungkur.


Terkadang, cukup satu ujian yang menerpa. Namun, beratnya sudah cukup membuat kita hilang arah.


Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.


Namun, kadang-kadang kejatuhan yang kita alami itu seakan-akan merenggut segala daya dan upaya kita. Tenaga yang masih bersisa hilang entah ke mana, lantaran harapan buat hari esok yang semacam tiada.


Lalu, masihkah ada sinar harapan buat kita bangkit kembali?


Bagaimana kita menyingkapinya?


Saya percaya, menyuruh orang bersabar tatkala diuji itu jauh lebih mudah, berbanding diri sendiri yang menghadapinya.


Benar. Memang tidak dapat dinafikan. Saya pun pernah berada dalam kondisi itu. Di kala, kata-kata motivasi yang kita sering laung-laungkan kepada orang lain juga ada masanya seakan tidak punya kesan terhadap diri. Keyakinan yang selama kita ini kita pegang pun mampu tergoyah kembali.


Maka di sini, kita dapat melihat kepentingan saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran, yang ditekankanNya melalui surah al-Asr.


Seringkali, kata-kata tulus mereka itu jualah yang menyembuhkan semangat diri.


Namun bukan itu yang saya mahu sentuh di sini. Dalam konteks diri kita sendiri, bagaimana seharusnya kita berdepan dengan ujian itu. Bagaimanakah caranya untuk kita memotivasikan diri sendiri?


Ok. Perkara ini kita perlu faham dengan jelas, supaya tatkala kita diuji nanti mudah-mudahan perkongsian ini turut mampu membangkitkan kita kembali.


Mulakanlah dengan bersangka baik kepada Allah dalam apa jua perkara.


Bersangka baiklah.


Yakinlah, Dia tidak menciptakan sesuatu ujian atau bencana itu, hanya dengan sia-sia. Pasti punya hikmah di sebalik peristiwa yang menimpa.


"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." - [Surah Al-Baqarah, 2: 216]


Kemudian, sertai kepositifan tadi (bersangka baik) dengan bersabar. Inallaha ma'as sobirin. Kerana sesungguhnya, Allah itu berserta dengan mereka yang sabar.


Sabar.


Dan kelak, kesabaranmu itu pasti akan membuahkan hasil yang bermanfaat. Agar kemudiannya kau dapat merenung kembali hikmah yang Dia susunkan itu, sambil dirimu tersenyum.


Kesilapan kita.


Ada masa kita silap.


Kita rasakan yang kita ini sudah cukup kuat, bagaikan kita ini telah kebal dari sebarang titik-titik kelemahan.


Terkadang, kita rasakan bahawa kita mampu berdiri sendiri sehinggakan kita fikir semua ujian yang datang kepada kita itu, mampu untuk kita selesaikan seorang diri.


Tidak. Saya tidak salahkan kemahuan kita untuk hidup berdikari.


Namun, kita sering lupa bahawa hakikatnya, kita ini hanyalah makhlukNya yang serba lemah dan kekurangan. Mampukah kita menanggung semua ujian itu dengan sendirinya tanpa sebarang bantuan?


"Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah." - [Surah An-Nisa', 4: 32]


Ya. Manusia itu sifatnya tidak akan mampu berdiri dengan sendirinya; jika tidak dia memperoleh kekuatan itu dari Allah.


Bukankah ujian itu datangnya dari Allah? Maka, kepada siapa lagi harus kita kembalikan jika tidak kepada Dia Yang Maha Kuasa?


Namun, silapnya pada kita.


Kita sering menyombongkan diri untuk bersimpuh memohon pertolonganNya.


Kita merasakan diri kita sudah lengkap sempurna. Kuat, berkuasa.


Sedangkan hakikatnya, kita sedikit tidak punya daya jika Dia tidak mengizinkannya.


Wujudnya saat muhasabah.


Manusia jarang sekali mahu bermuhasabah diri. Tatkala disentap dengan ujian yang berat barulah wujud saat mereka kembali berfikir apakah salah silap mereka selama ini. Itupun jikalau mereka sedar.


Maka, salah satu hikmah dari ujian adalah wujudnya masa kita untuk bermuhasabah.


Masa untuk kita merenung kembali sejauh mana kehidupan ini telah dibawa.


Adakah kita masih berada pada landasan yang benar?


Hikmah dari muhasabah ini akan membawa kita melihat dan memikirkan pula hikmah-hikmah yang lain dari ujian tadi.


Baik.

Apakah hikmah yang ingin Dia tunjukkan kepada kita melaluinya?


Manusia itu selalu bersifat lupa diri tatkala diberi nikmat. Namun, tatkala kita diuji dengan sedemikian rupa, barulah kita bersegara kembali mencariNya. Sungguh-sungguh kita mohon padaNya agar dipermudahkan segala kesulitan yang ada. Sedang selama ini, hendak mengingatiNya sebentar pun terasa berat. Astagfirullah, hamba jenis apakah kita ini?


"Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdo'a kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan." - [Surah Yunus, 10: 12]


Maka, di situ punya hikmah untuk sama-sama kita renungkan.


Bersangka baiklah kepada Allah atas ujian yang menimpa kita.


Dia mahu kita kembali kepadaNya.


Dia mahu kita selamat di 'sana'.


Dia mahu kita merenung sebentar dan bermuhasabah kembali.


Sekarang, jawab dengan hati kita. . .


Benarkah selama ini kita telah meletakkan Dia sebagai matlamat hidup kita?
Atau tanpa sedar kita meletakkan perkara-perkara lain (nikmat-nikmat yang Dia tarik itu mungkin) sebagai tujuan hidup yang mesti kita capai?


Benarkah kita telah meletakkan pergantungan kita sepenuhnya kepadaNya?
Atau mungkin, kita meletakkan pergantungan kita kepada 'tuhan-tuhan' lain (manusia-manusia lain atau diri sendiri) lebih, berbanding Dia Yang Maha Sempurna?


Moga-moga, hati-hati yang bersih itu mampu memberikan jawapan yang jujur.


Kerana saya yakin, pasti semua tahu, bahawa apabila kita sudah mengakui Allah itu sebagai Tuhan kita, seharusnya hanya Dialah yang menjadi matlamat utama hidup kita. Dan hanya kepadaNya jualah tempat kita bergantung segala.


Dan perkara-perkara lain yang 'terkorban' (ketika diuji) itu, tidak lain hanyalah salah satu kurnia dariNya dan juga sebagai ujian pembuktian keimanan manusia.


Seharusnya ia tidak mampu menggoyah matlamat hidup serta keyakinan kita.


Selama ini, adakah itu cara kita melihat?


Penutup: Kembali sedar matlamat dan peranan hidup


Kembalilah menapak bersama matlamat dan hala tuju yang jelas.


"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka mengabdikan diri kepadaKu." - [Surah Ad-Dzariyat, 51: 56]


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka berkata, 'Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?' Dia berfirman, 'Sungguh Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.'" - [Surah Al-Baqarah, 2: 30]


Manusia itu seharusnya sedar, bahawa tujuan dia tercipta di muka bumi ini adalah untuk menghambakan diri kepadaNya (melaksanakan tanggungjawab dan perintahNya, serta meninggalkan laranganNya).


Manusia itu sewajarnya sedar peranan yang perlu dia mainkan di muka bumi ini ialah sebagai khalifah; yakni dengan memakmurkan muka bumi, serta membawa manusia kembali kepada Allah, satu-satunya 'Illah' (Tuhan) seluruh semesta.


Setelah kesedaran, kefahaman, dan keyakinan tadi mendasar, semua permasalahan tadi pasti akan tampak lebih mudah. InshaAllah.


Wajar sahaja kita merasa sedih tatkala diuji, kerana itu merupakan lumrah seorang manusia. Namun, amatlah tidak wajar untuk kita merasa kecewa dan berputus asa. Sekaligus, kita tidak akan sesekali memanjangkan kesedihan yang dirasa.


Ya. Ia adalah atas keyakinan kita bahawa Allah itu Tuhan yang menciptakan segala.


Memperhambakan diri kepadaNya merupakan tujuan hidup kita.


Dan pasti, Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia, melainkan ada hikmahnya.


Jika kita sudah sedar akan perkara ini, maknanya, hikmah dari ujian itu seharusnya sudah nampak. Kebangkitan yang ditunggukan-tunggukan itu juga seharusnya sudah dimulakan langkahnya.


Wahai diri,


Kali ini. . .


Letakkan Dia 'bersama' ketika kamu menapak.


Dan pasti, jalan penyelesaian itu akan mula kelihatan.


" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." - [Surah At-Talaq, 65: 2-3]

Saturday, February 19, 2011

Terbaik

"Bodoh! Benci, benci, benci!" Inilah reaksi awalku, apabila aku tahu kawan-kawan mempermainkanku. Allah saja yang tahu betapa sakitnya hatiku. Sudahlah dipermainkan, ditabur harum pula dengan fitnah. Sakitnya tidak terperi. Semalaman aku menangis, sakit bila dikianati mereka yang digelar sahabat.

Malam itu, usai solat Isyak, aku memulakan niat untuk bersolat hajat. Aku nak minta pada Allah supaya diturunkanbala yang dahsyat pada mereka yang menganiayaiku. Biar! Biar mereka rasa, sakit yang aku rasakan. Aku nak hajatkan supaya mereka yang menyelarku rasa, apa yang aku alami. Aku nak sepanjang hidup mereka, mereka akan temui kecelakaan dalam setiap langkah yang ditapakkan.

Sakit hati bercampur bisikan syaitan, inilah hasilnya. Aku lakukan solat hajat dengan mata yang sembam dek seharian menangis. Bagiku, pasti Allah akan memberikan keadilan padaku. Doa orang teraniaya pasti termakbul.

Namun, ketika sujud terakhirku, bukan itu yang kuhajatkan buat mereka. Bukan kecelakaan. Bukan bala malapetaka. Sebaliknya aku berhajat supaya aku diberi kekuatan untuk menempuh ujian dari-Nya. Aku berdoa agar rakan-rakanku diberikan hidayah dan diampunkan dosa mereka. Dan aku berdoa agar aku dapat menerima dengan reda ujian-Nya. Sujudku penuh dengan air mata. Sayu.

Alhamdullilah, selesai sudah solat hajatku. Hatiku kini tenang. Damai. Bagaikan tiada kekusutan yang pernah berlaku. Rupa-rupanya, kemaafan itu dendam yang termanis untuk sebuah pembalasan.

"Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu?

(Surah an-Nur : Ayat 21)

"Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang lain. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."

(Surah Ali-Imran: Ayat 134)

Kepada semua yang pernah menghadapi masalah sepertiku; dituduh, dianiaya dan dipulaukan.Janganlah kita berdendam dan ingin saling berbalas. Dendam pasti tiada berkesudahan. Allah menyukai orang yang bersih hatinya. Biar ada yang menggelar kita bodoh dan dungu kerana tidak mahu bertindak balas, biar mulut sekeliling mengata keras,yang penting keredaan ada bersama kita.

Kadang-kadang Tuhan menyembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari, rupa-rupanya Tuhan hendak memberi kita pelangi. Lepas apa yang berlaku, bilangan rakanku mula bertambah, bukan hanya dalam kampus sahaja, luar kampus pun ada dan mula rapat dengan rakan-rakan bekas sekolah dulu.

Alhamdullilah. Aku panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Buat mereka yang pernah aku sakiti tanpa sengaja atau secara sengaja, aku memohon kemaafan untuk segala silap dan salahku, dan aku juga memaafkan setiap silap dan salahmu.

X Mustahil

Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.

Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).

Tiba-tiba terfikir satu persoalan.

Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?

Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?


"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37

"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62


Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.

Yang mana lebih kita kejarkan? Perbuahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?

Pastinya yang lebih baik.

Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang peuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.

Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:

"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"

"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"

Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.

Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.

Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.


"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2


Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?

Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.

Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.

Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.

Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.

Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.

Analog Sendirian

Allah!!!, entah mengapa ungkapan itu terbit tiba-tiba dari lidahku, mungkin inilah yang dikatakan fitrah seorang hamba yang memang tidak berdaya dan sentiasa mengharapkan limpahan kekuatan dan keinginan dalam meneruskan perjuangan yang semakin hari ku lihat semakin sukar.

Memang sejak kebelakangan ini hatiku membentak tentang tugasan yang padat menghujani aku satu persatu.

Jiwa yang dulunya tampak gagah kini meronta-ronta untuk dilepaskan dari segala bebanan ini.

Bukan aku tak mahu, tapi entahlah inilah kali pertama aku merasakannya dan semangatku kian padam dan semakin menghitam.

Salah Siapa

Hari demi hari yang aku lalui kini semata-mata menyalahkan orang lain diatas perasaanku yang kacau bilau ini.

Tetapi yang menghairankan, semakin banyak aku menyalahkan orang lain, semakin aku gelisah.

Seperti ada sesuatu yang mengatakan bahawa ia semua salahku sebenarnya.

Aku makin keliru, tujuanku baik untuk membantu agama Allah, tapi kenapa jiwaku membentak sebegini rupa?

Aku teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah memberikan kuliah sewaktu bertamrin dulu.

"Islam ini agama yang terbaik, ganjarannya menegakkannya juga adalah yang terbaik, nescaya perkara yang berkualiti dan terbaik itu mestilah ada mahar yang standing dengannya. Itulah dia pengorbanan dalam perjuangan"

Tersentak jiwaku ketika teringat kata-kata tersebut, otakku ligat mencari kekuatan yang terbit dicelah-celah kata tersebut.

Aduh, daifnya diriku ini selalu meletakkan kesalahan ke atas bahu yang lain sedangkan aku masih lagi mampu memikulnya.

Aku sentiasa menegakkan bahawa orang lainlah yang menjadi asbab aku terbeban sedangkan aku sendiri lalai dan sentiasa lupa kepada diri sendiri.

Dosa Yang Menghijab Amalan

"sesungguhnya didalam setiap jasad anak adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah seluruhnya, jika jahat daging itu maka jahatlah seluruhnya, ketahuilah daging itu adalah hati"

Begitulah rangkap hadith yang dituturkan oleh Rasulullah dalam menegaskan tentang kepentingan hati dalam mempengaruhi tindakan yang akan dizahirkan dengan tubuh badan, terutamanya dalam mengharungi kehidupan ini sebagai seorang pejuang.

Aku meneliti ayat hadith berkenaan, lalu aku mendapat satu jawapan dan kepastian tentang bentakkan jiwaku yang tidak keruan ini.

Mungkin kerana dosa yang sentiasa aku lakukan menjadikan jiwaku penuh dengan dosa dan noda yang diibaratkan seperti titik hitam yang akan mengisi hati.

Mungkin dalam sedar atau tidak aku sendiri seronok melakukan dosa berkenaan dan perbuatan itu berterusan dalam keadaan aku yang semakin lalai dan cuai.

Bukan soal dosa besar atau kecil yang telah aku lakukan, tetapi dosa sebesar manapun ia tetap dosa dan tidak disukai Allah.

Aku Ingin Kembali

"Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taubat( taubat nasuha)"

Dengan perlahan-lahan aku teringatkan ayat Al-Quran itu.

Walaupun ringkas, tetapi punyai maksud yang dalam dan menusuk hati para pencinta agama Allah.

Sesungguhnya manusia sentiasa melakukan dosa saban hari dan waktu, tetapi ingat, sebesar manapun kesilapan yang telah dilakukan,

Allah lebih tahu akan hikmahnya dan tiada perkara diatas dunia ini yang dapat menandingi sifat pengampun Allah.

Dalam keheningan malam itu, aku mengalirkan air mata, spontan tanganku angkat dan jari jemariku susun rapi menadah tangan dalam kerendahan hati seorang hamba yang tidak berupaya melainkan dengan izin darinya.

Ya Allah aku menadah tangan ini dengan penuh pengharapan, agar kau kurniakan aku kekuatan yang pernah Kau berikan pada Rasulullah,

Kekuatan hati yang kuat dan keazaman yang betul-betul mantap,

Aku seorang hamba yang hina dihadapanMu ya Allah,

Berilah aku hidayahMu untuk memandu jalanku ini,

Suluhlah jiwaku dengan suluhan Iman,

Perhiaskan diriku dengan sifat sabar,

Dan wangikan tubuhku dengan keringat jihad menujuMu,

Ya Allah, aku sedar aku tidak layak menuntut syurgamu,

Namun aku juga tidak mampu menghadapi murkaMu,

Ya Allah berilah kemulian kepadaKu dengan gugur SYAHID dijalanMU,

Sesungguhnya tiada yang lebih besar cita-citaku selain itu,

Ya Allah berikan sahabat seperjuanganku juga kekuatan,

Jangan biarkan mereka mati melainkan dalam perjuangan menegakkan agamaMU,

Sesungguhnya aku terlalu kasih dan cinta kepada mereka,

Ya Allah, pertemukan kami dengan kekasihMu iaitu Rasulullah,

Pertemukan kami dengan sahabat-sahabat baginda,

Dan pertemukan kami dengan para pejuang Islam yang istiqamah menyatakan kebenaran agamaMu,

Ya Allah, tuhan yang Maha Sempurna, perkenankanlah doaku ini...

Kisah Katak

Kelihatan seekor kala jengking berdiri di tebing sungai. Ingin menyeberang ke tebing sebelah sana. Lalu, ia meminta katak membawanya ke tebing seberang sana.

"Bagaimana aku yakin kau tidak akan menyengat aku?" Tanya katak.

"Kerana aku akan lemas kalau aku menyengat engkau," jawab kala jengking.

Ada benarnya kata-kata kala jengking itu, lalu katak membenarkan kala jengking memanjat ke belakangnya. Dan katak pun berenang.

Sampai di pertengahan sungai, kala jengking menyengat belakang si katak. Sebelum kedua-duanya lemas, sempat katak bertanya, "tapi kenapa?"

"Biasa lah," jawab kala jengking. Dan kedua-duanya mati lemas, di tengah sungai.

Biasa buat? Bisa buat?

Banyak benda biasa, yang mana bila kita biasakan, boleh menjadi bisa yang akhirnya membunuh diri kita. Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Ibnu Rajab al-Hanbali dan Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab mereka Tazkiyatun Nufuz wa Tarbiyatuha kama yuqarrirruhu Ulama As Salafmenuliskan terdapat empat racun hati yang paling biasa dilakukan, tetapi mempunyai kesan besar kepada hati, iaitu banyak berbicara, pemandangan yang tidak dijaga, terlalu banyak makan dan banyak bergaul dengan sembarangan orang.

Abu Hurairah berkata, hati adalah raja anggota tubuh. Dan anggota tubuh adalah para perajuritnya. Apabila raja baik, maka baik lah para perajuritnya. Dan apabila raja busuk, maka busuk lah para perajuritnya.

"Biasalah!"

Selalu kita dengar orang beralasan dengan alasan 'biasa' bila ditegur tentang sesuatu. "Biasalah. Doktor hisap rokok, ustaz-ustaz pun hisap rokok," itulah jawapan bila ditanya kenapa merokok.

"Alah, lewat sikit saja, bukan tak datang langsung pun. Biasalah, kita kan orang Melayu," respon bila digesa untuk tidak datang lewat.

Apa masalah sebenar?

Masalah doktor atau ustaz juga hisap rokok, atau masalah dilahirkan sebagai orang Melayu (baca: salah ibu mengandung)?

Atau ini sebenarnya masalah sikap?

Benar. Ini masalah sikap (attitude). Firman Allah dalam Surah Ar-Rad, ayat 11 yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka".

Ayat ini benar. Bila kita mengubah sikap kita terhadap masa, kerja, orang sekeliling, wang, ilmu dan sebagainya, kita sebenarnya sedang memperbaik kejayaan kita.

Tetapi, bolehkah kita mengubah sikap, tanpa terlebih dahulu menjaga hati kita?

Fikir dengan akal, tilik pakai hati.