Monday, March 30, 2009

Menyelusuri sirah Rasulullah dalam melaksanakan program dakwah

DAKWAH Islamiah atau mengajak manusia kepada seruan agama, adalah satu tugas berat dan mencabar yang perlu dipikul umat Islam khususnya ahli agama bagi mendepani pelbagai kerenah anggota masyarakat. Tugas dakwah mengajak manusia kepada Islam mentauhidkan Allah SWT wajar dimulakan dengan diri sendiri, ahli keluarga, sanak saudara, masyarakat dan seterusnya negara.

Setiap usaha dakwah mempunyai halangan dan cabaran tersendiri. Ini dibuktikan menerusi sirah Rasulullah SAW yang mendepani cabaran dahsyat ketika itu. Berkat kesabaran dan ketabahan Baginda, Islam bertapak di sanubari jiwa manusia melangkaui satu pertiga dunia.

Menyelusuri sirah, merakamkan bahawa Baginda SAW tidak keseorangan dalam gerak kerja dakwah. Baginda membina persahabatan yang ampuh dengan sahabat hingga Saidina Ali sanggup menggadai nyawa mengganti tempat tidur Baginda dalam peristiwa hijrah. Saidina Abu Bakar sanggup membelanjakan seluruh hartanya untuk perjuangan menegakkan Islam, sehingga ditanya oleh Baginda SAW, apakah yang ditinggalkan, beliau menjawab Allah dan Rasul-Nya.

Saidina Umar ketika mendengar berita kewafatan Baginda SAW tidak dapat menerimanya pada awalnya kerana kasih dan cintakan Baginda.

Abd Rahman bin Auf pula mempunyai falsafah tersendiri dalam membela Islam iaitu dengan menumpukan kepada kekuatan ekonomi. Faktor kejayaan usaha dakwah sebahagian besar juga disumbangkan oleh kekuatan ekonomi. Selepas tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah, beliau meminta kaum Ansar menunjukkan pasar agar dapat menjalankan perniagaan.

Antara moraliti yang menjadi asas kepada kita, menerusi cebisan kisah itu ialah kekuatan akidah, persahabatan yang kukuh, kesetiaan dalam perjuangan, kekuatan ekonomi, kesatuan pemikiran dan tindakan adalah nadi perjuangan menegakkan Islam.

Ahli agama terpaksa mengharungi pelbagai cabaran dalam memberi kefahaman agama kepada masyarakat. Contohnya, peranan seorang imam menarik perhatian kariah ke masjid bagi mengimarahkan dengan pelbagai aktiviti keilmuan dan kemasyarakatan.

Pendekatan dakwah hari ini juga harus mengambil pendekatan yang digariskan Rasulullah SAW. Usaha dakwah tidak akan memberi kesan besar jika bergerak secara individu.

Usaha menggerak manusia ke arah kebaikan adalah tugas besar dan dipandang mulia di sisi Allah SWT. Memetik kata-kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Dakwah kepada kalimah tauhid adalah tugas para Rasul dan pengikutnya.

Beliau juga mengungkapkan,


Sesiapa yang berdakwah dengan pena untuk kebaikan Islam dan umatnya adalah satu cabang dakwah, sesiapa yang menyeru manusia dengan kepetahan lidahnya untuk kebaikan Islam dan umatnya adalah dakwah dan sesiapa yang mengajar dengan ketajaman akal dan ilmunya adalah dakwah.

Setiap usaha dakwah, diberitakan dengan perkhabaran gembira. Islam memberi kegembiraan terhadap gerakan dakwah Islamiah antaranya:

Dakwah adalah tugas Rasul dan umatnya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "

Katakanlah (Wahai Muhammad): Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik), dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Surah Yusof, ayat 108)

Bersegera melakukan dakwah akan memperoleh ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT. Ini ditegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud:


"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengEsakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah." (Surah Fussilat, ayat 33).

Imam Al-Syaukani menyatakan,


Tugas dakwah yang dilakukan, tiada perkara yang lebih baik dilakukan selainnya, tiada jalan yang lebih jelas selain dari jalannya dan tiada ganjaran pahala yang lebih besar selainnya.�

Ganjaran pahala menanti penggerak dakwah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


"Barang siapa yang menunjuk satu jalan ke arah kebaikan, maka baginya pahala sama seperti pahala orang yang melakukan (kebaikan) itu." (Hadis riwayat Muslim)

Imam Nawawi menyatakan yang dimaksudkan dengan menunjukkan jalan kebaikan ialah melakukannya dengan perkataan, penulisan dan perlakuan. Orang yang menunjuk jalan kepada seseorang mengenai Islam, ia akan diberi ganjaran sama seperti pahala orang menerima seruan Islam itu dan pahala mengamalkannya.

Sesiapa yang mengajak seseorang kepada melakukan sembahyang dan puasa, baginya pahala sama seperti orang menerima ajakannya dan melaksanakannya sehingga ke hari kiamat.

Allah SWT akan membuka jalan keredaan-Nya bagi sesiapa yang menjalankan tugas dakwah dengan penuh keikhlasan dan mengharap keredaan-Nya. Allah SWT menjanjikan balasan syurga sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:


"Balasan mereka di sisi Allah ialah Syurga Adn (tempat tinggal yang kekal), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya, Allah reda akan mereka, dan mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8.)

Nabi SAW memberi jaminan kepada sesiapa yang berada di landasan dakwah dengan penuh keimanan dan kesabaran mendepani cabaran dan halangan. Antara jaminan itu ialah neraca timbangan amal kebaikannya akan digandakan di akhirat. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:


" Barang siapa yang menunjukkan jalan kepada seseorang untuk mendapat hidayah Allah (Islam) adalah baginya pahala seperti mana orang yang menerima (Islam) itu dan mengamalkannya dan tidak akan dikurangi walau sedikit pun dari neraca timbangannya."� (Hadis Riwayat Muslim)

Usaha dakwah adalah salah satu sebab kejayaannya di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT yang bermaksud:


"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah akan membela kamu (untuk mencapai kemenangan dan meneguhkan tapak pendirian kamu."� (Surah Muhammad, ayat 7)

Thursday, March 19, 2009

Peranan Rakan Seperjuangan dalam Dakwah

Allah berfirman:
"Dan jadikanlah aku seorang pembantu dari kalangan keluargaku. (Iaitu)
Harun, saudaraku. Teguhkan dengan dia kekuatanku. Dan jadikanlah dia
sekutu dalam urusanku. Supaya kami banyak bertasbih kepada Engkau. Dan
banyak mengingat Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Melihat (keadaan)
kami"
Surah Taha: 29-35

1. Ayat ini menceritakan bagaimana nabi Musa a.s meminta Allah taala
agar diberi pendokong dalam kerja dakwah dan mensifatkan sifat
pendokong dakwah yang baik.

2. Sebagaimana dakwah itu perlu dilakukan secara berjamaah, pendakwah
secara individu juga memerlukan pendokong atau rakan/ beberapa rakan
yang rapat dalam perjuangan.

3. Oleh kerana setiap mukmin itu pembantu bagi mukmin yang lain dalam
amar makruf dan nahi munkar, maka perlulah seorang mukmin untuk
menghiaskan dirinya dengan sifat-sifat seorang rakan seperjuangan/
pendokong dakwah yang baik - sifat 'Harun' bagi nabi Musa as.

4. Sebagai rakan seperjuangan kita mestilah memainkan peranan yang berikut:

a) Meneguhkan saudara kita dalam usaha dakwah dengan membantu dia
melalui pelbagai cara. Kehadiran kita bersama saudara kita hendaklah
menatijahkan rasa kekuatan dalam diri saudara kita. Kehadiran kita
merupakan aset bukan beban kepada saudara kita.

b) Sentiasa bersama dalam kerja. Bukan rakan seperjuangan yang
sebenar, jika kita sentiasa membiarkan saudara bersendirian
melaksanakan kerja dakwah sedangkan kita berehat di rumah. Bukan rakan
seperjuangan yang sebenar, jika kita tidak merasa bersalah untuk
datang lewat atau pulang awal sehingga saudara kita harus memikul
kerja yang lebih dari kita untuk menyempurnakan sesuatu urusan. Bukan
rakan seperjuangan yang sebenar, jika kita sentiasa menolak kerja
kepada saudara kita sehingga kerja kita menjadi kerja dia dan kerja
dia kekal menjadi kerja dia.

c) Saling mentarbiyah untuk mendekatkan diri kepada Allah taala dengan
tasbih dan zikir. Sebagai rakan seperjuangan, menjadi inspirasi bagi
saudara kita untuk beribadah dan menggandakan amal, bukan melekakan
dia atau menjadi sumber lagho (kelalaian).

d) Kehadiran kita memantapkan perasaan bahawa Allah taalah sentiasa
melihat perbuatannya.

5. Kita hendaklah menjadi sumber kekuatan, motivasi, bantuan dan
tazkirah. Kita adalah cermin bagi saudara kita dan dia adalah cermin
bagi kita dan rakan seperjuangan di jalan dakwah.

p/s: Mencari kekuatan bersama rakan seperjuangan,walaupun kadang kala apa yang kita harapkan tidak selalunya menjadi kenyataan. Itulah tarbiyyah dan ujian yang datang. Untuk menguji keimanan dan tahap ukhuwwah yang sering kita bicarakan.

Friday, March 13, 2009

10 Muwasofat Tarbiyyah


10 Muwasofat merupakan ciri-ciri utama pembinaan seorang kader dakwah. Dari detik pertama seseoarang itu menjejaki alam tarbiyyah, dia tidak dapat di pisahkan dengan pembinaan muwasofat-muwasofat ini sehingga dirinya terus di baluti oleh Islam yakni menjadi individu muslim yang unggul.


Berkata Iman Hassan Al-Banna ketika melalui marhalah ini 'Wajib ke atas setiap muslim memulakan dengan memperbaiki dirinya, kesempurnaan itu dapat dilihat bila ia telah dapat memiliki beberapa perkara yang meletakkan ia di peringkat tertentu yang menjadikan ia mampu untuk memikul tanggungjawab amal Islami'.


1. Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

  • Redha Allah sebagai tuhan, Islam sebagai Agama dan Muhammad saw sebagai Nabi.

  • Sentiasa muraqabah Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir.

  • Menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

2. Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

  • Perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya.

  • Perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram.

  • Tidak melampau atau berkurang (pertengahan).

3. Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

  • Akhlak kita ialah Al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi saw.

  • Dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan dai iaitu sensitif, tawadhu, benar dalam perkataan dan perbuatan, tegas, menunai janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dll.


4. Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

  • Walaupun kaya, perlu bekerja.

  • Tidak terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan/resmi.

  • Meletakkan jawatan dan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan.

  • Melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan).

  • Menjauhi riba dalam semua lapangan.

  • Menyimpan untuk waktu kesempitan.

  • Menjauhi segala bentuk kemewahan apatahlagi pembaziran.

  • Memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam.


5. Berpengetahuan luas (Mutsaqqafal Fikri)

  • Perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain.

  • Perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis dan diterangkan oleh ulama yang thiqah.
    Pesan Imam Banna: Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.

  • Mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, mempelajari seerah, kesah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.


6. Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

  • Dakwah berat tanggungjawab dan tugas - perlukan badan yang sihat dan kuat.
    Rasulullah saw menitikberatkan soal ini. Maksud Hadis : Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan


7. Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

  • Perlu azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam.

  • Tidak menghiraukan apa orang kata dalam mempraktikkan Islam.

8. Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

  • Waktu lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula.
    Sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka..Aku adalah makhluk baru.. menjadi saksi kepada manusia.


9. Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syuunihi)

  • Untuk manfaatkan waktu dengan baik.. perlu penyusunan dalam segala urusan.

  • Gunakan segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah


10. Berguna untuk orang lain. (Nafiun li ghairihi)

  • umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh orang lain.

  • adalah penggerak dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup mati Islam bergantung kepada dai.

  • Amal Islam ialah untuk menyelamatkan orang lain dari kesesatan.

  • merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Thursday, March 12, 2009

Erti sebuah Persahabatan

Dalam hidup ini,

Kita tak punya sesiapa,kecuali diri sendiri…

Tetapi...dalam kita bersendirian,kita beruntung kerana…

Mempunyai sahabat yang mema
hami kita,

Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat,

Begitulah juga dirinya,

Tetapi kita sering lupa akan hal itu.

Cuma mengambil tahu tentang harapan dan perasaan kita,

Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya,

Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya,

Bagi kita, itu alasannya untuk menu
tup kesilapan dan membela dirinya.

Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti,

Kerana kita juga ada janji yang tidak ditepati,

Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita,

Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya….?

Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa…t
etapi kita sering lupa…

Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami,

Yang selalu berada di sisi pada waktu kita memerlukannya,

Dia mendengar luahan perasaan, segala rasa kecewa dan ketakutan kita,

Harapan dan impian juga kita luahkan,

Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah,

Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita,

Hingga kadang-kadang kita terlupa,

Sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita,

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbang dan rasa takutnya…
?

Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita…?

Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan rasa gembiranya?

Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya,

Sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa

dan menyerah kalah…?

Dapatkah kita yakinkah dia yang kita boleh dipercayai,

Boleh dijadikan tempat untuk bers
andar bila terasa lemah,agar tidak rebah..?

Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan?

Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita…

Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat…

Kerana dia juga seorang manusia, dia juga ada rasa takut,ada rasa bimbang,sedih dan kecewa…

Dia juga ada kelemahan
dan memerlukan sahabat…

Sebagai kekuatan, jadilah kita sahabatnya itu…

Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan,

Disebalik senyumannya, mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan…

Disebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan…

Kita tidak tahu…

Tetapi …jika kita cuba jadi sahabat sepertinya,

Mungkin kita akan tahu...

RENUNGILAH…

HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DI SEBALIKNYA TERSIMPUL SEGALA-GALANYA.

Cara untuk untuk kita memperoleh kasih sayang ialah jangan menuntut agar kita dicintai, tetapi mulailah memberi kasih sayang kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan...



WALLAHU’ALAM